PETALING JAYA: Malaysia memenuhi kriteria untuk dijadikan destinasi pelaburan selamat kepada pelabur atas faktor kestabilan, tenaga kerja terlatih, ekonomi dan geopolitik berkecuali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inilah kriteria destinasi yang pelabur di seluruh dunia cari untuk melabur di tengah-tengah ketegangan khususnya sejak pelaksanaan sekatan perdagangan yang semakin ketat dalam industri mikrocip.
Menurutnya, industri semikonduktor berkembang pesat di negara ini, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia dalam sektor pembuatan, perdagangan dan inovasi.
Jelas beliau, Malaysia juga mempunyai asas yang kukuh dan matang dalam sektor pembuatan terutama membabitkan industri elektronik dan elektrik bahkan merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia.
“Saya berani katakan bahawa Malaysia memenuhi kriteria (destinasi pelaburan selamat), disebabkan kestabilan kami, tenaga kerja terlatih dan (polisi) ekonomi serta geopolitik berkecuali.
“Buktinya, pada 2023, Pulau Pinang iaitu pusat semikonduktor Malaysia menarik pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM61.1 bilion, melebihi jumlah keseluruhan pelaburan bagi tujuh tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama di Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) ke-29 di Tokyo, Jepun, semalam.
Perdana Menteri berkata, Malaysia sedang menyasarkan untuk meningkatkan fokus membabitkan pembuatan wafer (industri semikonduktor), reka bentuk litar (elektronik) bersepadu dan pembungkusan.
“Pencapaian ini tidak mungkin dicapai tanpa Jepun dan rakan lain di rantau ini. FDI Jepun menjadi faktor penting dalam kejayaan industri semikonduktor di Malaysia bahkan pelaburan berskala besar dari Kaga Electronics dan Ferrotec baru-baru ini,” katanya.
Tambah beliau, keterbukaan Malaysia terhadap perdagangan dan pelaburan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan industri utama lain menjana FDI berjumlah RM188 bilion pada tahun lalu.
Sementara itu, ketika sesi soal jawab, Anwar menjelaskan, Malaysia kekal bersikap berkecuali dalam ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Beliau turut menggunakan istilah ‘tersangat neutral’ bagi merujuk pendirian Malaysia terhadap kedua-dua negara tersebut.
Bagaimanapun, beliau menzahirkan harapan agar AS dan China dapat menyelesaikan perbezaan antara mereka.
“Apabila saya memegang jawatan Pengerusi ASEAN (tahun depan), saya akan menyeru negara anggota mengambil pendirian sama supaya kita boleh melibatkan diri dengan negara jiran termasuk China bagi mencari penyelesaian secara baik terhadap perbezaan,” katanya. – UTUSAN










