SEREMBAN: Mahkamah Sesyen Seremban hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang wanita kerana gagal hadir untuk sebutan semula kes mengabaikan anak kandung perempuannya berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematian kanak-kanak itu pada bulan Mac lalu.
Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh, Noraini Haron, 42.
Pada 1 April lalu, Noraini dengan teman lelakinya Mohd. Khairul Shamsua Israk, 38, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebut semula kes hari ini untuk mengemukakan laporan forensik namun hanya Mohd. Khairul yang hadir ke mahkamah manakala Noraini tidak hadir termasuk penjaminnya.
Mahkamah kemudiannya telah ditangguhkan sebentar bagi kehadiran tertuduh, namun tertuduh masih gagal hadir ke mahkamah.
Hakim kemudiannya menetapkan satu tarikh baharu pada 4 Jun ini bagi sebutan semula kes.
Berdasarkan pertuduhan terdahulu, mereka dengan niat bersama sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun telah mengabaikan kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan kematian.
Kesalahan itu dari 18 hingga 24 Mac antara tengah hari hingga 6.45 petang di sebuah rumah di Port Dickson.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Dalam sesi terdahulu, mahkamah menawarkan wang jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin. Noraini membayar ikat jamin manakala Mohd. Khairul tidak dapat menjelaskan jaminan berkenaan.
Media pada 27 Mac lalu melaporkan polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Bandar Sunggala, Port Dickson pada 26 Mac lalu bagi membantu siasatan membabitkan kes pengabaian seorang kanak-kanak perempuan.-UTUSAN.










