‘Lubang maut’ menanti korban

‘Lubang maut’ menanti korban

HARRISON Hassan (dua, kanan) bersama penduduk menunjukkan antara jalan berlubang di Taman Alam Jaya, Puncak Alam, Selangor. – UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Lebih 5,000 penduduk Taman Alam Jaya dan Alam Perdana, Puncak Alam di sini, berdepan risiko apabila menggunakan jalan berlubang setiap hari.

Lebih membimbangkan penduduk, kemalangan kerap berlaku di kawasan itu apabila terdapat lebih 10 lubang dalam jarak kira-kira tiga kilometer.

Wakil penduduk, Kamal Abdul Rashid, 63, berkata, masalah jalan berluang berlaku semenjak dia menetap di situ pada 2005.

Beliau mendakwa, kenderaan berat dan cuaca tidak menentu terutama musim hujan menyebabkan struktur jalan mudah pecah sehingga berlubang.

“Banyak kemalangan, kami perlu berwaspada bagi mengelak terlanggar lubang dan terbabas terutama pada waktu malam.

“Penduduk jemu dengan isu ini yang masih tiada berkesudahan biarpun telah diajukan berulang kali kepada pihak berwajib,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Shafid Hanafi Salleh, 34, berkata, jalan berlubang berpunca daripada kenderaan berat keluar masuk mengangkut barang bagi projek pembangunan perumahan berdekatan.

“Jalan itu merupakan laluan utama kami untuk berulang alik atas urusan kerja dan menghantar anak ke sekolah.

“Sebahagian laluan sedia ada juga tidak dilengkapi papan tanda keselamatan sekali gus merisikokan nyawa pengguna,” ujarnya.

Justeru, dia meminta pihak berkenaan membaik pulih dan menarik taraf jalan selain memantau kenderaan berat yang keluar masuk di laluan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Harrison Hassan berkata, pihaknya menerima ratusan aduan mengenai isu berkenaan yang sudah lama diperjuangkan penduduk kawasan tersebut.

“Laluan ini terdapat banyak kawasan perumahan dan perindustrian.

“Beberapa langkah penyelesaian akan diambil antara MPKS dan pihak pemaju bagi menanganinya,” jelasnya ketika meninjau kawasan itu bersama wakil Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan beberapa syarikat pemaju perumahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN