KOTA BHARU: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa sudah bersedia untuk menerima penerbangan masuk antarabangsa ke Kelantan hujung tahun ini.
Pengurus Besar Kanan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) Kamaruzzaman Razali berkata, keyakinan itu berpandukan kepada kemudahan lengkap yang terdapat pada terminal baharu fasa 1 yang mula beroperasi secara rasmi hari ini.
“Secara asasnya kita sudah bersedia untuk menerima penerbangan antarabangsa, cuma menunggu peluang mengadakan perbincangan lajut dengan pengendali perkhidmatan.
“Perbincangan itu sudah ada syarikat pengendali perkhidmatan penerbangan antarabangsa dan mereka berminat untuk datang ke Kota Bharu,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan tinjauan hari pertama operasi terminal baharu fasa 1 LTSIP Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Kamaruzzaman memberitahu, selain itu pihaknya sedia berbincang dengan Kementerian Pelancongan dan Kerajaan Negeri dalam mengendalikan penerbangan antarabangsa.
Katanya, fasal kedua pembinaan LTSIP akan bermula seminggu selepas operasi terminal baharu fasa pertama berjalan.
“Untuk terminal fasa 1 ini kita mampu menampung jumlah kehadiran penumpang sekitar 2 juta setahun. Jadi tiada masalah untuk menerima jumlah penumpang.
“Bila siap nanti kita mampu tampung 4 juta setahun. Insya-Allah, projek ini akan siap sepenuhnya hujung 2026 atau awal 2027 untuk fasal 2,” ujarnya.
Kamaruzzaman berkata, sekiranya LSTIP dinaik taraf sebagai antarabangsa ia akan mengembangkan ekonomi Kelantan pada masa hadapan.
Katanya, peningkatan itu menerusi kedatangan lebih ramai pelancong antarabangsa.
Media sebelum ini melaporkan, projek bernilai RM440 juta itu merangkumi pembesaran terminal, balai ketibaan dan pelepasan sedia ada yang kini hanya mampu menampung 1.5 juta penumpang setahun.
Selain itu katanya, penambahbaikan turut dilakukan pada infrastruktur dan pelbagai kemudahan lain, termasuk menambah bilangan tempat letak kenderaan kepada 1,300 petak, berbanding sekarang hanya terhad 300 petak.-UTUSAN










