PETALING JAYA: Belia perlu diberi peranan lebih besar termasuk dilibatkan dalam Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) agar idealisme benci rasuah dapat dipupuk dalam kalangan golongan tersebut.
Pada masa sama, satu kajian menyeluruh dan terperinci mengenai kecaknaan belia menolak rasuah bermula di peringkat siswazah perlu dilaksanakan bagi mengetahui sejauh mana integriti golongan tersebut yang dilihat sebagai pemimpin masa depan negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin berkata, pihaknya tidak mahu peranan belia dalam rasuah hanya dibincangkan menjelang Hari Belia Negara tanpa sebarang tindakan progresif.
Sebaliknya, beliau berkata, golongan belia perlu dilibatkan sama dalam jawatankuasa di peringkat tertinggi khususnya mengenai pembasmian rasuah selaras dengan kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika kerajaan serius mahu belia berperanan membasmi rasuah dan penyelewengan, golongan itu perlu dilibatkan dalam Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) supaya mereka ada wakil untuk diangkat suaranya di peringkat tertinggi.
“Di peringkat penggubalan dasar sudah ada ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang selain Ahli Dewan Negara serta pandangan pakar dalam isu tersebut, namun suara belia tidak boleh dipinggirkan juga,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negera (HBN) 2024 kelmarin berkata, anak muda harus dikenali kerana idealisme yang dibawa terutama dalam pembasmian penyelewengan dan rasuah.
Tegasnya, penilaian terhadap dasar-dasar kerajaan juga perlu dibuat berdasarkan ilmu dengan memberi contoh pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang diumumkan beliau, baru-baru ini.
“Anak muda itu dikenali bukan suaranya, tetapi kerana cita-cita murninya, kerana idealismenya benci kepada penyelewengan, rasuah dan keangkuhan. Cinta kepada kebenaran dan kebaikan, maka kita mesti menolak fahaman perkauman sempit, fahaman agama jumud yang melemahkan kita,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, tindakan melibatkan belia dalam JKMR juga memberi akses terus kepada belia untuk memberikan pandangan kepada Perdana Menteri mengenai realiti rasuah pada masa kini.
“Jadi tidak perlulah golongan belia apabila mahu memberikan pandangan atau menyuarakan berkaitan hal rasuah terpaksa membuat resolusi atau menyerahkan memorandum seperti sebelum ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, wakil belia yang dilibatkan di dalam JKMR juga boleh bertindak selaku duta atau jurucakap golongan tersebut terhadap perancangan kerajaan bagi menghapuskan rasuah dan penyelewengan. – UTUSAN










