PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyalurkan sebanyak RM189 bilion kepada pengurus dana luaran untuk dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, setakat Disember tahun lalu.
Jumlah itu mewakili 17 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, barisan pengurus dana luaran KWSP telah menghasilkan pulangan yang baik tahun lepas dengan mencatatkan jumlah pendapatan tertinggi.
Katanya, pulangan yang dicatatkan itu adalah kira-kira 22 peratus daripada keseluruhan pendapatan KWSP walaupun berhadapan dengan pasaran yang tidak menentu dan mencabar.
“Jumlah dana yang diurus oleh pengurus ekuiti dan pendapatan tetap luaran telah meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM189 bilion berbanding lima tahun lalu.” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, KWSP mengumumkan 11 pemenang di Anugerah Pengurus Dana Luaran KWSP 2023 sebagai pengiktirafan prestasi cemerlang barisan pengurus dana luaran KWSP mengikut mandat masing-masing yang dinilai berdasarkan beberapa set metrik kuantitatif.
Bagi tahun kewangan berakhir 2023, KWSP telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.5 peratus dengan agihan RM50.33 bilion untuk Simpanan Konvensional; dan 5.4 peratus dengan agihan RM7.48 bilion untuk Simpanan Shariah.
Secara kumulatif, jumlah agihan untuk 2023 ialah RM57.81 bilion.
Ahmad Badri berkata, pencapaian itu turut disumbang oleh pendiversifikasian yang dilaksanakan pengurus dana di dalam kelas aset, pasaran dan mata wang berbeza yang membantu KWSP untuk kekal berdaya tahan terhadap turun naik pasaran serta melindungi pulangan pelaburannya.
“Selain daripada memaksimumkan pulangan risiko terlaras peringkat portfolionya, KWSP juga berusaha untuk memperkasa semua syarikat penerima pelaburan dan pengurus dana luaran untuk memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Dedikasi mereka untuk menghasilkan nilai yang berkekalan telah menyumbang kepada kejayaan KWSP dalam memberikan pulangan yang mampan di samping melindungi kesejahteraan persaraan ahli,” katanya. – UTUSAN










