PETALING JAYA: “Dia kacak dan ada ciri-ciri lelaki Melayu terakhir. Sangat sesuai untuk berlakon jadi hero dalam mana-mana drama.”
Demikian jawapan penerbit dan pengarah tersohor, Erma Fatima ketika ditanya mengapa dia memberi tawaran belakon kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin atau KJ baru-baru ini.
Jelas Erma, KJ ketika ini juga sudah memiliki kelompok peminat tersendiri apatah lagi dia juga dilihat sekamin aktif dalam bidang penyampai radio dan cabang lain dalam dunia seni.
“Sebenarnya, KJ tak perlu jadi pelakon pun untuk ada peminat. Dia sudah ada peminat sendiri. Sekarang pun dia sudah berkecimpung dalam dunia seni setelah bergelar penyampai radio.
“Jadi apa salahnya jika saya terbitkan satu naskhah yang meletup dengan meletakkan KJ sebagai teraju utama kan?” ujarnya.
Bagaimanapun, tambah Erma, dia harus berhati-hati dalam memilih karya yang sesuai dengan bekas menteri itu sementelah figura itu memiliki karisma dan imej yang harus dijaga.
“Naskhah dan watak yang bakal ditawarkan harus sesuai dengan kredibiliti KJ. Kita tak mahu rosakkan imej dia sebagai seorang bekas menteri yang sudah bertakhta lama di hati rakyat,” kongsinya.
Dalam pada itu, KJ ketika ditanya berhubung tawaran itu menjawab;
“Kita on sahajalah kak,” katanya. – UTUSAN