Khayla perlu RM126,000 setahun bagi rawatan tulang reput

Khayla perlu RM126,000 setahun bagi rawatan tulang reput

MOHAMAD Abdul Hamid (tengah) menyerahkan bantuan kepada keluarga Khayla di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: “Terima kasih kepada semua yang bantu sumbang dana. Khayla sayang semua.”

Kata-kata itu dilontarkan Khayla Adha Mirza Imran, 8, yang menghidap Osteogenesis Imperfecta (OI) atau penyakit tulang rapuh.

Bapanya, Imran Mohd Yusoff, 45, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu memerlukan RM126,000 setahun bagi menampung kos rawatan.

“Dua kali sebulan Khayla perlu disuntik dengan dos penggalak stemcell (stemcell booster) berharga RM2,400 bagi setiap suntikan.

“Dua bulan sekali pula, dia memerlukan suntikan ‘blood stemcell’ yang menelan belanja RM11,400 bagi setiap suntikan.

“Kedua-dua prosedur ini hanya boleh dijalankan di Hospital Gleneagles Ampang,” katanya ditemui pemberita di Taman Pauh Jaya, di sini semalam.

Terdahulu, Timbalan Ke­tua Menteri I merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid menyerahkan sumbangan bagi meringankan beban keluar­ga terbabit.

Mengulas lanjut, Imran yang berniaga donat ‘bomboloni’ bersama isterinya, Khairol Niza Zaffarullah Khan, 44, berkata, dia berharap Khayla akan dapat berjalan seperti kanak-kanak lain suatu hari nanti.

“Buat masa ini, tulang Khayla perlu dikuatkan terlebih dahulu menggunakan stemcell sebelum boleh memasukkan besi ke dalam tulangnya. Kami amat menghargai bantuan yang di­salurkan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian.

“Bagaimanapun, saya berharap orang ramai tidak tertipu sekiranya ada ternampak tabung kutipan derma buat Khayla ke­rana kami tidak pernah berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Mohamad memberitahu, Zakat Pulau Pinang (ZPP) memperuntukkan bantuan tanpa tunai bulanan sebanyak RM2,000 dan sumbangan ‘one off’ berjumlah RM30,000 buat Khayla. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN