Kewangan punca kelahiran turun

Kewangan punca kelahiran turun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Faktor kewa­ngan punca utama penurunan kadar kelahiran di negara ini sekali gus menghalang ibu bapa untuk memiliki saiz keluarga yang besar.

Ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pemba­ngunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Sufian Burhan berkata, status kewangan individu atau keluarga memberi impak yang signifikan terhadap penurunan kadar kelahiran berbanding keadaan ekonomi negara.

Katanya, kenaikan kos sara hidup menyebabkan perbelanjaan untuk membesarkan anak semakin tinggi terutama dalam aspek pendidikan dan penjaga­an kesihatan.

“Kebanyakan orang muda akan menangguhkan perkahwinan dan orang yang telah berkeluarga pula cenderung untuk menangguhkan pertambahan anak atau menjarakkan kelahiran anak mereka.

“Kos perumahan yang tinggi juga memaksa kebanyakan keluarga untuk memperoleh kediaman kecil yang boleh menampung saiz keluarga yang terhad,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kelahiran hidup pada suku tahun pertama adalah 106,386 menurun 9.4 peratus berbanding 117,413 pada suku pertama 2023.

Sementara itu, Nik Ahmad berkata, kerajaan perlu menurunkan kos sara hidup dan mewujudkan dasar yang berkesan untuk meningkatkan kadar kelahiran agar jurang umur antara generasi tua dan muda tidak terlalu besar.

“Sekiranya corak penurunan ini tidak diatasi, Malaysia akan menjadi seperti Jepun dan Korea Selatan di mana kadar kelahiran adalah rendah sehingga nisbah bilangan orang tua dalam masyarakat terus meningkat berbanding bilangan golongan muda yang semakin mengecil,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai implikasi terhadap kadar kelahiran yang menurun, beliau berkata, ia akan mengakibatkan tenaga kerja lebih kecil serta menghalang pertumbuhan ekonomi dan produktiviti ter­utamanya di kawasan perindustrian seperti Lembah Klang.

Katanya, hal ini juga akan mengurangkan pendapatan boleh guna keluarga, bilangan pekerja muda dan mengehadkan pertumbuhan ekonomi negara sekali gus menurunkan kuasa beli keseluruhan pengguna di Malaysia.

“Dalam jangka masa panjang, kerajaan akan menghadapi tekanan kewangan disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan untuk pencen dan penjagaan kesihatan warga emas disertakan dengan pengurangan hasil cukai daripada tenaga kerja yang semakin berkurangan.

“Bilangan golongan muda yang berkurangan akan mengehadkan inovasi dan aktiviti keusahawanan yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi lebih perlahan dan berpotensi menurunkan taraf hidup dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN