JOHOR BAHRU: Kereta Honda City Hatchback milik pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim yang diserang dua lelaki bermotosikal malam tadi tidak dilengkapi dengan dashcam.
Ini menyebabkan polis tidak dapat memperoleh bukti penting yang merakam insiden pemain veteran JDT itu ketika berdepan detik cemas didatangi dua individu yang menunjukkan tukul besi ke arahnya selepas memecahkan cermin kereta.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lokasi kejadian Syafiq diserang itu berada di luar ruang lingkup pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).
Katanya, polis masih menjalankan siasatan menyeluruh kejadian tersebut termasuk motif kejadian itu berlaku dengan menyasarkan pemain berusia 36 tahun itu.
“Kenderaan mangsa didapati tiada dipasang dashcam. Siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek yang terlibat dan motif kejadian.
“Di lokasi kejadian juga tiada ada CCTV dikesan berhampiran yang merakam insiden tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Safiq memuat naik gambar cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan individu tidak dikenali, di kawasan pusat latihan JDT.
Menerusi laporan polis dimuat naik, Safiq melaporkan beliau ketika itu sedang memandu ke arah Pantai Lido, selepas mengambil barangnya di pusat latihan berkenaan pada pukul 10.05 malam tadi.
“Ketika sedang memandu, tiba-tiba datang sebuah motosikal yang dibonceng dua lelaki sebelum pembonceng motosikal mengeluarkan sebatang tukul dan mengetuk bahagian cermin belakang kereta saya.
“Saya terkejut dan memberhentikan kereta sebelum dua lelaki itu berhenti di hadapan kereta saya. Dua lelaki itu kemudian menunjukkan tukul ke arah saya. Akibat risau, saya mengundurkan kereta dan beredar dari lokasi berkenaan,” katanya dalam laporan berkenaan.
Safiq merupakan pemain kebangsaan yang dilaporkan diserang individu tidak dikenali selepas pemain sayap negara, Faisal Halim disimbah asid dan seorang lagi pemain JDT, Akhyar Rashid disamun dan diserang di kawasan kediamannya.
Mengulas lanjut, Raub memberitahu, pihaknya sedang mengesan saksi kejadian tersebut bagi membantu siasatan dijalankan.
Jelasnya, setakat ini, masih belum ada individu yang dipanggil untuk dirakamkan keterangan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus di talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Fahmi Muhamad Rasyid Rabuan di talian 012-6648916,” katanya.










