KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sedang menunggu keputusan sampel lauk ayam goreng dihidang bersama nasi bungkus yang dipercayai menjadi punca 75 pelajar sekolah di sini mengalami keracunan makanan pada minggu lalu.
Pengarahnya Datuk Zaini Hussin, berkata, siasatan awal epimologi yang dijalankan mendapati, keracunan makanan itu dipercayai berpunca daripada ayam tersebut.
Menurutnya, bagaimanapun, kesemua pelajar yang terlibat ketika ini berada dalam keadaan sihat dan stabil selepas menerima rawatan di sebuah hospital ekoran daripada kejadian itu.
“Setakat ini, kita masih lagi menunggu sampel laporan terperinci berhubung kes itu.
“Kita juga sudah mengeluarkan notis kompaun selain memberi nasihat kepada pihak pengurusan bahan mentah kantin sekolah tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Pesta Pantun Kesihatan Peringkat Akhir 2024 anjuran bersama JKNK, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dan Imedikal Pharma Holding Berhad di pekarangan sebuah pusat beli-belah di Lembah Sireh, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, punca seramai 75 pelajar di sebuah sekolah menengah di sini mengalami keracunan makanan pada minggu lalu disebabkan oleh lauk ayam goreng dihidangkan bersama nasi bungkus.
Zaini berkata, kesemua mangsa bagaimanapun sudah menerima rawatan dan tiada mangsa yang dimasukkan ke wad.-UTUSAN










