JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Fatwa mengklasifikasikan kematian dua anggota polis dalam serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu sebagai Fi Sabilillah, iaitu kematian di jalan Allah SWT.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, ia kerana kematian dua wira negara itu ketika menjaga dan mempertahankan keselamatan kepentingan negara.
Katanya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri yang bersidang pada Jumaat lalu.
“Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa jenazah allayarham kedua-dua anggota polis berkenaan sebagai syahid akhirat. Jawatankuasa Fatwa juga memutuskan bahawa jenazah mereka hendaklah disempurnakan dengan melengkapkan empat rukun tahjiz jenazah, iaitu dimandikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam serangan seorang lelaki ke atas Balai Polis Ulu Tiram kira-kira pukul 2.30 pagi Jumaat lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban.
Ahmad Azza Fahmi meninggal dunia akibat ditetak pada bahagian belakang leher dan kepala, manakala Muhamad Syafiq maut akibat ditembak pada bahagian pipi dan menembusi kepalanya.
Seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd. Hasif Roslan mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) serta keadaannya dilaporkan stabil.
Mohd. Fared berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad turut menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas peristiwa yang menimpa semua anggota polis berkenaan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan.
Ahli Jawatankuasa Fatwa juga mendoakan semoga roh kedua-dua anggota yang terkorban dicucuri rahmat, kasih sayang dan keredaan Allah.
“Ahli Jawatankuasa Fatwa turut mendoakan polis Johor khasnya terus bersemangat dan diberikan kekuatan untuk menjalankan tugas dalam menjaga keselamatan dari pelbagai ancaman dan kedaulatan negara teguh terpelihara,” katanya. – UTUSAN










