Kematian ayah dicemburui, kami sekeluarga reda – Anak

Kematian ayah dicemburui, kami sekeluarga reda – Anak

Noor Shakila (kiri) di samping adiknya, Noor Ikma Juana, 43, dan Nur Athirah, 28, menunjukkan gambar Allahyarham Abnil Hajar Ismail ketika ditemui di Kampung Tanjong, Tunjang, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Keluarga kepada bakal jemaah yang meninggal dunia di Mekah, Arab Saudi pada Jumaat lepas, Abnil Hajar Ismail, 72, reda dengan pemergian warga emas tersebut yang disifatkan mereka kematian yang dicemburui ramai.

Anak kedua Allahyarham Abnil Hajar, Noor Shakila, 49, memberitahu, jenazah bapanya itu selamat dikebumikan di Perkuburan Al Sharaya di Mekah kira-kira pukul 5.22 pagi semalam selepas solat Subuh.

Katanya, kematian Allahyarham yang disebabkan pembuluh darah pecah pada bahagian abdomen itu sangat mengejutkan kerana arwah tidak mempunyai masalah kesihatan seperti itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami reda walaupun semua masih bersedih dengan kematian ayah tetapi arwah meninggal dunia di Mekah ketika mengerjakan haji dan pada hari Jumaat. Hasil bedah siasat memaklumkan arwah meninggal akibat pembuluh darah pecah pada bahagian abdomen.

“Walaupun bersedih namun kami bersyukur kerana kematian yang baik seperti itu iaitu kematian yang dicemburui ramai,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya itu di Kampung Tanjong, Tunjang di sini, semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan Abnil Hajar meninggal dunia ketika mendapat rawatan di King Abdullah Medical City Mekah pada pukul 10.30 malam pada 24 Mei lepas.

Menurut Noor Shakila, bapanya mengerjakan haji bersama ibu mereka, Saadiah Bakar, 72, yang berlepas ke Mekah pada 10 Mei lepas.

“Kali terakhir kami jumpa arwah pada 9 Mei sewaktu menghantarnya di Kepala Batas. Ayah sangat gembira apabila menerima panggilan haji selepas mendaftar pada 2009. Kami sering membuat panggilan video ketika mereka di Mekah dan ayah nampak sangat ceria.

“Mak juga memberitahu ayah tiba-tiba jadi begitu bersemangat dan sihat berbanding ketika berada di sini,” katanya.

Mengimbas tentang kejadian, kata Noor Shakila yang juga seorang guru memberitahu, beliau menerima panggilan tentang kematian bapanya itu pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan, Sabtu lepas.

“Mak yang telefon memberitahu dengan nada sedih dan sebak. Mak ada menceritakan arwah muntah pada pagi sebelum kematiannya itu dan terus dibawa ke klinik untuk menerima rawatan.

“Ayah ingat sakit biasa sahaja dan minta petugas Tabung Haji tidak memaklumkan kepada keluarga. Sekarang hanya tinggal mak di Mekah dan kami berharap urusan haji mak berjalan lancar sehingga dia pulang pada 25 Jun ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×