Kelantan salur RM300,000 bantu jemaah haji

Kelantan salur RM300,000 bantu jemaah haji

MOHD. Nassuruddin Daud (kiri) bersalam sambil mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Kelantan yang berangkat ke Mekah di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji, Kota Bharu, Kelantan malam tadi. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyalurkan bantuan sebanyak RM300,000 kepada pengurusan Tabung Haji untuk membantu melancarkan perjalanan jemaah haji dari negeri ini bagi Musim Haji 1445 H/2024 M.

Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, seramai 2,360 jemaah haji dari Kelantan telah terpilih untuk melaksanakan rukun Islam kelima.

“Setiap tahun kerajaan menyediakan bantuan ini kepada jemaah haji. Alhamdulillah hari ini (malam tadi) kita meraikan seramai 281 jemaah haji yang akan berlepas ke tanah suci dengan menaiki dua pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Mereka dijadualkan menaiki pesawat ke Madinah pada pukul 12.05 tengah malam ini dan pukul 4 pagi esok,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Ke Tanah Suci di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji, di sini malam tadi.

Seramai 140 jemaah haji kumpulan satu berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) pada pukul 7.55 malam manakala 141 jemaah haji kumpulan kedua berlepas pada jam 11.55 malam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti memberitahu, beliau berharap kesemua jemaah haji menggunakan peluang dikurniakan oleh Allah ini untuk memperbanyakkan amal ibadat.

“Jaga hubungan baik dan banyakkan bersabar kerana Tanah Suci Mekah itu adalah tempat ujian. Kita nak haji kita menjadi haji yang mabrur.

“Haji yang diterima oleh Allah. Tandanya adalah perubahan diri ke arah yang lebih baik dan itulah harapan setiap orang sama ada telah melakukan ibadat haji atau belum,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN