Kejohanan Wushu Remaja Kebangsaan di Seremban mulai Jumaat ini - Utusan Malaysia

Kejohanan Wushu Remaja Kebangsaan di Seremban mulai Jumaat ini

MUSTAPHA Nagoor (dua dari kanan) dan Chong Kim Fatt (dua dari kiri) pada sidang akhbar menjelang Kejohanan Wushu Remaja Kebangsaan ke-13 KPM-Himalaya Sports 2024 di Seremban hari ini. -UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 387 peserta akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Wushu Remaja Kebangsaan ke-13 KPM-Himalaya Sports 2024 yang akan berlangsung selama empat hari bermula Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor berkata, peserta yang berusia antara 8 hingga 18 tahun mewakili 16 pasukan dari seluruh negara.

Beliau berkata, mereka bakal bersaing dalam 81 acara yang dipertandingkan dalam kejohanan di Dewan N. S. Chin Woo Athletic Association di Jalan Tuan Haji Said di sini.

“Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dijadual berangkat merasmikan kejohanan ini pada Sabtu pukul 8.30 malam,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt.

Mustapha berkata, kejohanan itu menyediakan platform kepada para atlet sukan itu bersaing meningkatkan pencapaian dalam kejohanan peringkat kebangsaan.

Menurutnya, pencapaian itu penting sebagai persediaan bertanding di peringkat lebih tinggi terutamanya kejohanan antarabangsa.

“Melalui kejohanan ini kita boleh mengenal pasti dan memilih atlet yang akan bersaing di Kejohanan Wushu Remaja Dunia di Brunei pada September ini dan Kejohanan Olimpik Remaja di Dakar pada 2026,” ujarnya.

Pada masa sama, tambah beliau, pengalaman daripada menganjurkan kejohanan itu boleh dijadikan panduan untuk menganjurkan pertandingan peringkat antarabangsa di negeri ini.      

Sementara itu, Kim Fatt berkata, Persekutuan Wushu Malaysia selaku penganjur berharap orang ramai akan datang menyaksikan kejohanan berkenaan.

“Kejohanan ini menjadi platform menarik minat orang ramai terhadap sukan wushu serta meningkatkan keyakinan kepada peserta muda untuk bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN