PASIR PUTEH: Polis Kelantan akan mempertingkatkan rondaan di kawasan Bachok yang ketika ini sedang berdepan jerebu tebal terutama pada awal pagi susulan pembakaran hutan sejak minggu lalu.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, selain anggota trafik, unit kereta peronda (MPV) dan unit rondan bermotosikal (URB) akan turut digerakan di lokasi-lokasi yang melibatkan jarak pandangan terlalu dekat.
“Ini merupakan salah satu usaha kita untuk memudahkan pengguna jalan raya. Selain itu, kita mungkin akan meletakan kon pantulan cahaya dan sebagainya.
“Bagimanapun, kita akan bincang dengan jabatan-jabatan lain seperti Jabatan Kerja Raya (JKR). Setakat ini tiada lokasi yang diberikan perhatian,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Rumah Terbuka Aidilftri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini malam tadi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lebih 3,000 penduduk Kampung Beris Lalang, di sini mendakwa terpaksa hidup bersama asap sejak seminggu lalu susulan kebakaran hutan akibat cuaca panas dan kering yang melanda ketika ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Beris Lalang semalam mendapati kawasan tersebut berjerebu dan berkabus sekali gus mengehadkan jarak penglihatan.-UTUSAN










