‘Kawan sudah panggil saya ‘Haji’’

‘Kawan sudah panggil saya ‘Haji’’

IRFAN Hamdani Mohd. Noh (tengah) teruja menjadi jemaah haji paling muda bagi negeri Pahang sempena musim Haji Tahun 1444H/2024M. – UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Kawan sudah mula panggil saya ‘Haji’,” kata Irfan Hamdani Mohd. Noh, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman, Bentong, dekat sini yang menjadi antara jemaah haji pa­ling muda dari Pahang tahun ini.

Lazimnya, panggilan ‘Haji’ atau ‘Hajah’ digunakan kepada mereka yang sudah menunaikan haji di Mekah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Irfan Hamdani berkata, dia tidak menyangka dipilih menjadi tetamu Allah SWT sempena musim Haji Tahun 1445H/2024M dan dijangka berlepas pada 12 Mei ini.

Lebih mengujakan buat remaja berkenaan apabila dia berpeluang mengerjakan ibadah itu bersama bapa, Mohd. Noh Abidin, 52 dan ibunya, Norlela Samat serta ibu saudaranya.

“Saya mendaftar haji sejak tahun satu manakala ibu bapa saya daftar lebih awal. Kedua-dua ibu bapa saya dapat panggilan terlebih dahulu sekitar Januari lalu.

“Kemudian ibu membuat rayuan untuk saya pergi bersama mereka dan Alhamdulillah rayuan kami diterima. Ada kawan-kawan yang sudah memanggil saya ‘Haji’,” katanya ke­tika ditemui pada Majlis Peras­mian Kursus Perdana Haji Dan Penyampaian Barakah Haji Pahang 2024 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini.

Menurutnya, berbekalkan pe­ngalaman pernah mengerjakan umrah pada 2019 memberi sedikit keyakinan buatnya untuk menjalankan ibadah haji nanti.

Seorang lagi remaja seusia Irfan Hamdani, Muhammah Ilham Abdullah, 16, yang bersekolah di SMK Bukit Mendi, Triang, turut meluahkan rasa teruja kerana terpilih mengerjakan ibadah haji tahun ini.

“Alhamdulillah, syukur kerana dapat menjadi tetamu Allah tahun ini bersama keluarga serta jemaah haji yang lain,” ujarnya ringkas.

Terdahulu, mereka antara 1,588 jemaah haji yang turut menerima bantuan Barakah Haji Pahang sebanyak RM750 seorang sumbangan kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN