MELAKA: Kapal Layar Tradisional Fu Ning sepanjang 41.6 meter dengan 12 meter lebar berlabuh selama tujuh hari bermula semalam di Jeti Pelabuhan Tanjung Bruas di sini, sebagai sebahagian aspirasi pemiliknya, Lin Chang Jiu untuk menghormati pencapaian Laksamana Cheng Ho.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Zaidi Attan berkata, pelayaran tersebut merupakan satu sejarah untuk meneroka semula laluan sutera maritim.
Menurutnya, ketibaan kapal tradisional terbesar dunia itu juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkasa sektor pelancongan.
“Antara signifikan lawatan tersebut adalah keakraban hubungan Kerajaan China dan Melaka yang telah lama terjalin. Kerjasama yang sangat erat ini pernah menjadikan kawasan pelabuhan di negeri ini antara yang termasyhur sekitar tahun 1400 lalu.
“Justeru, hubungan ini perlu diperkasakan semula bukan sahaja untuk menarik lebih ramai pelancong terutama dari China bahkan meningkatkan keupayaan kita dari segi pelaburan teknologi dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Sambutan Ketibaan Kapal Layar Tradisional Fu Ning.
Tambah Zaidi, kerajaan negeri menyasarkan kedatangangan sejuta pelancong China ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 berbanding 204,818 orang pada tahun lalu.
Beliau berkata, sasaran itu termasuk pelancong China yang menginap sekurang-kurangnya tiga malam di Melaka.
Ujarnya, pelancong China kini dilihat semakin ramai memilih untuk bermalam berbanding hanya transit di Melaka seperti sebelum ini.
“Sebelum ini mereka hanya menjadikan Melaka sebagai destinasi persinggahan. Tetapi kali ini kita dapat lihat perubahan apabila mereka mahu bermalam di Melaka.
“Selain itu, persefahaman yang dimeterai dengan media berpengaruh dari China baru-baru ini dijangka dapat membantu meningkatkan sekurang-kurangnya 500,000 hingga sejuta pelancong dari negara itu pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN










