Sidang DUN Johor terganggu - JKR Johor diarah periksa sistem audio - Utusan Malaysia

Sidang DUN Johor terganggu – JKR Johor diarah periksa sistem audio

MOHAMAD FAZLI Mohamad Salleh ditemui selepas menghadiri Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri sudah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengenal pasti punca masalah teknikal melibatkan sistem audio semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berlangsung semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, JKR akan mencadangkan penambahbaikan yang perlu dilakukan selepas siasatan dijalankan.

Katanya, JKR akan melakukan pemeriksaan menyeluruh kepada sistem itu ketika Sidang DUN Johor ditangguhkan, minggu depan.

“Semalam gangguan yang berlaku adalah melibatkan sistem audio, bukan melibatkan bekalan elektrik. Selepas gangguan itu kita telah reset sistem berkenaan dan ia berfungsi seperti biasa.

“Antara faktor yang dikenal pasti adalah ia merupakan peralatan lama yang sudah digunakan sejak tahun 2016. Kita akan lihat jika terdapat keperluan mengganti sebahagian peralatan atau menggantikan terus sistem audio DUN Johor,” katanya  ditemui selepas menghadiri Sidang DUN Johor, di sini hari ini.

Mohamad Fazli berkata, antara faktor yang perlu diambil kira termasuk kekerapan penggunaan sistem dan peralatan berkenaan kerana DUN Johor bersidang hanya empat kali setahun.

Semalam, berlaku gangguan sistem audio ketika Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sedang menjawab soalan berkaitan isu kasino di Forest City.

Speaker DUN Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi turut menegur insiden berkenaan dan menganggapnya sebagai  insiden yang memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.

Sementara itu, Onn Hafiz yang menyambung sesinya selepas sistem audio berkenaan berfungsi semula dalam tempoh 20 minit sempat bergurau dengan berkata adakah gangguan berkenaan merupakan satu tindakan sabotaj kerana berlaku ketika beliau sedang menjawab soal berkaitan isu kasino di Forest City. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya