JOHOR BAHRU: Jenazah pemuda yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu dikebumikan di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram, di sini sebentar tadi.
Van yang dipercayai membawa jenazah suspek berusia 21 tahun itu dilihat memasuki pekarangan tanah perkuburan berkenaan pada pukul 12.15 tengah hari.
Walau bagaimanapun, proses pengebumian itu hanya dihadiri beberapa penduduk kampung dikawal pegawai dan anggota polis.
Pengamal media dihalang daripada menghampiri kawasan berkenaan sebelum diminta keluar dipercayai atas faktor keselamatan.
Ketua Kampung Sungai Tiram, Muhamad Mohamed Som, 66, memberitahu, pihaknya dimaklumkan Pejabat Kadi Daerah untuk menjarakkan lokasi kubur suspek dari kubur orang awam lain.
Justeru, pihaknya telah menyediakan tapak kubur di hujung kawasan tanah perkuburan berkenaan.
Jumaat lalu, dua anggota polis maut selepas Balai Polis Ulu Tiram diserang seorang lelaki bersenjatakan parang yang kemudian turut merampas senjata api daripada anggota polis yang ditetaknya dan melepaskan beberapa das tembakan sebelum.suspek ditembak mati.
Serangan itu turut mencederakan seorang lagi anggota polis.
Susulan kejadian itu, polis menahan tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek yang kini direman selama tujuh hari bermula 18 Mei lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










