Isu UiTM dibuka kepada bukan bumiputera sengaja dimainkan

Isu UiTM dibuka kepada bukan bumiputera sengaja dimainkan – Zambry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tiada perbincangan diadakan untuk membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada bukan bumiputera seperti mana didakwa pihak tertentu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, isu tersebut sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu.

Menurut beliau, pihak tersebut cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekaligus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak.

“Saya ingin memaklumkan sekali lagi dengan tegasnya bahawa isu ini tidak dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat KPT mahupun peringkat Kabinet.

“Seperti kenyataan saya pada 2 Mei yang lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan bumiputera sepertimana yang telah dimainkan pada hari ini,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, pelajar-pelajar UiTM diseru memakai pakaian berwarna hitam esok sebagai tanda membantah agenda pembukaan universiti tempatan itu kepada golongan bukan bumiputera.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM berkata, universiti tersebut perlu berpegang objektif asal penubuhannya iaitu memelihara kedudukan istimewa orang Melayu, Orang Asli dan pribumi Sabah serta Sarawak.

Menurutnya, UiTM perlu memastikan mahasiswa bumiputera yang kurang berkemampuan mendapat akses kepada pengajian tinggi.

Ia susulan laporan media yang mengatakan Ahli Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Prof. Dr. Raja Amin Raja Mokhtar mendedahkan, UiTM bersetuju untuk membuka program berkenaan secara sementara kepada graduan bukan bumiputera.

Ia selepas seramai 30 graduan yang mengikuti program tersebut di bawah institusi pengajian swasta yang dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Bagaimanapun, KPT sudah pun sebelum ini menegaskan tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada UiTM untuk membuka kepada bukan bumiputera.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173.

“(Iaitu) UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×