BAGAN DATUK: Isu perebutan tapak menternak kerang di kawasan Bagan Sungai Tiang di sini diselesaikan menerusi tindakan Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk yang menyukat kawasan yang dipajak untuk nelayan yang terlibat.
Nelayan yang ditemui gembira kerana masalah tersebut dapat diselesaikan selepas timbul isu mengenai kawasan menternak kerang dalam kalangan nelayan sejak 10 bulan lalu.
Nelayan, Mohamad Nahar Sarip, 56, berkata, Pejabat Daerah Tanah Bagan Datuk mengambil tepat bagi menyelesaikan isu tapak menternak kerang yang menjadi rebutan dalam kalangan nelayan.
Katanya, ini dapat mengelak isu itu daripada berlarutan dan nelayan pula boleh menternak kerang tanpa sebarang masalah.
“Kami nelayan di sini mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Tanah Bagan Datuk yang membantu menyelesaikan masalah pengagihan petak menternak kerang.
“Mereka memahami masalah kami. Kami berharap selepas kerja menyukat kawasan menternak udang selesai, lesen menternak dikeluarkan supaya tidak timbul lagi isu siapa pemilik petak menternak kerang yang sah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, nelayan memuji sikap prihatin pegawai dan kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah yang turun ke lokasi tapak menternak kerang untuk menentukan pemilik sebenar tapak penternakan kerang tersebut.
Katanya, pengesahan daripada Pejabat Daerah dan Tanah dapat mengelak salah faham antara nelayan yang terlibat.
Sementar itu, seorang pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk berkata, pihaknya turun ke kawasan menternak kerang dan melakukan kerja menyukat petak menternak kerang supaya disahkan pemiliknya.









