KOTA BHARU: Tindakan dua wanita melangkah kubur di sebuah tanah perkuburan yang tular di media sosial semalam akan dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Mufti sebelum membuat keputusan berhubung kes berkenaan.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pada masa sama pihaknya juga akan menyemak dan melihat secara keseluruhan situasi dan maklumat supaya pandangan diberikan adalah berdasarkan informasi yang tepat.
“Kita akan merujuk kepada Jabatan Mufti dan Jakim kerana apabila berbicara mengenai aspek hukum, kita perlu merujuk pihak berautoriti bagi meredakan perselisihan faham itu.
“Pihak berautoriti akan memberi pandangan serta nasihat berkaitan isu berkenaan dan kalau perlu mereka yang terlibat akan dipanggil,” kata beliau pada Majlis Bicara Eksklusif bersama Penjawat Awam Persekutuan Kelantan di Dewan Misai Kucing, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tunjong, di sini hari ini.
Semalam, tular video berdurasi 37 saat memaparkan tindakan dua wanita melangkah kubur sehingga mengundang kemarahan netizen yang menyifatkan perbuatan itu melampaui batas dan tidak menghormati agama serta waris si mati. – UTUSAN










