PUTRAJAYA: Umat Islam yang berhasrat menyemak arah kiblat secara manual diingatkan bahawa peristiwa Istiwa Adzam kali ini berlaku awal sehari daripada kebiasaan.
Menurut pakar falak tanah air, Datuk Dr. Azhari Mohamed, fenomena itu lazimnya berlaku pada 28 Mei setiap tahun, namun kali ini dijangka pada 27 Mei disebabkan 2024 adalah tahun lompat.
“Berdasarkan kiraan menerusi kaedah Almanak Falak Syarie Malaysia, transit berlaku tepat pukul 5.18 petang 27 Mei ini dan kemudiannya 5.27 petang 15 Julai nanti,” katanya ketika dihubungi.
Istiwa Adzam merupakan kejadian unik berlaku dua kali setahun apabila lintasan matahari atau juga disebut sebagai zenith, berada tepat kedudukan sudut 90 darjah di atas Kaabah.
Azhari berkata, apabila matahari berada tegak di atas Kaabah, tiada bayang-bayang objek di persekitarannya akan terhasil.
“Namun sekiranya kita mendirikan satu tiang yang tegak di luar kota Mekah, maka bayang lurus terhasil pada waktu berkenaan sebenarnya ialah garisan arah kiblat tepat,” jelasnya.
Fenomena itu walau bagaimanapun tegas beliau, bukan kes pelik kerana boleh dihitung mudah malahan matahari memang sentiasa transit di titik samawi sama dua kali setahun.
Justeru, beliau yang juga Penasihat Persatuan Falak Syarie Malaysia mengajak umat Islam agar mengambil peluang itu bagi menjajarkan kedudukan kiblat jika tersilap selama ini.
Langkah itu ujarnya, selaras dengan tuntutan syarak bagi kesempurnaan ibadat solat kerana kekhilafan sudut waima sekecil satu darjah menyamai jurang jarak 122 kilometer.










