PENDANG: Ulang tahun kelahiran ke-39 Noor Azmi Ariffin pada Sabtu ini mungkin menjadi tarikh yang sukar dilupakan buat pesara tentera itu apabila jenazah isterinya, Sarjan Faridah Abd Rahman dijangka tiba di tanah air dari Lubnan.
Noor Azmi berkata, dia mendapat perkhabaran terbaharu itu daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam ketika menguruskan urusan pengebumian Allahyarham Faridah.
“Isteri saya ‘pulang’ Sabtu ini pada hari lahir saya. Mungkin inilah takdir saya untuk ingat semua ini sampai mati. Semua ini ketentuan Allah SWT dan kami sekeluarga menerimanya,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Noor Azmi, pesawat membawa jenazah isterinya akan berlepas dari Beirut pada Khamis, sebelum transit di Dubai dan dijangka tiba pagi Sabtu di tanah air untuk urusan pengebumian.
Katanya, mereka sekeluarga berharap semua urusan membawa pulang jenazah Allahyarham Faridah berjalan lancar.
“Jenazah akan dikebumikan tidak jauh daripada kubur adik lelakinya, Muhammad Farihan yang meninggal dunia akibat asma pada 2013,” katanya.
Bercerita tentang perkembangan anak, ujarnya, mereka empat beradik semakin reda dengan kematian ibu yang meninggal dunia ketika bertugas.
“Anak-anak, Nurul Syifa, 13, Muhammad Afnan, 10, Nurul Jannah, 7, dan Ainul Mardiah, 4, mendapat kasih sayang penuh daripada keluarga mentua saya. Alhamdulillah mereka semakin menerimanya,” katanya.
Faridah yang merupakan Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) Pasukan Pengaman Malaysian Battalion (Malbatt) 850-11 disahkan meninggal dunia pada pukul 2.25 pagi waktu Lubnan atau pukul 7.25 pagi waktu Malaysia, 18 Mei lalu.
Arwah yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam Malbatt 850 Siri 11 di Kem Marakah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan apabila beliau rebah setelah turun dari bas di kem berkenaan.
Beliau baru sahaja kembali ke Lubnan untuk menyambung tugas setelah pulang bercuti selama sebulan di kampung halaman. – UTUSAN










