PETALING JAYA: Kira-kira 350,000 pelarian di Gaza ‘dihalau’ tentera Israel untuk meninggalkan Rafah susulan tindakan rejim Zionis itu meningkatkan operasi ketenteraannya di timur bandar yang menjadi ‘kubu terakhir’ rakyat Palestin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin di Gaza, Omar Seyam berkata, pada hari ke 221 serangan Israel terhadap Palestin, Gaza terus menerus dibedil dari pelbagai arah oleh rejim Zionis.
Katanya, rakyat Palestin berhadapan penderitaan yang tidak dapat dibayangkan disebabkan infrastruktur penting seperti hospital, kediaman dan sebagainya musnah sama sekali.
“Situasi terkini adalah malapetaka yang tak pernah dilihat dunia. Mayat bergelimpangan, kuburan di mana-mana, kebuluran dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, setakat hari ini, dianggarkan sekitar 350,000 pelarian sudah berpindah ke Khan Younis dan Bandar Gaza (di tengah wilayah) selepas rejim Zionis meningkatkan tekanan di Rafah yang sebelum ini menjadi pusat perlindungan kepada kira-kira 1.3 juta orang.
“Serangan udara dan bedilan kereta kebal berterusan di Rafah dan kawasan kejiranan, pelarian terpaksa berpindah ke kawasan lain seperti Khan Younis dan Bandar Gaza.
“Disebabkan kawasan Khan Younis juga sudah tiada infrastruktur yang boleh didiami, pelarian terpaksa memasang khemah plastik untuk berteduh,” katanya.
Beliau berkata, sejak beberapa hari lalu, rejim Zionis mensasarkan Rafah, kejiranan Al-Zaytoun dan Kem Jabalia di utara Gaza.
“Kematian dalam kalangan wanita dan kanak-kanak terus meningkat saban hari. Terbaharu, kira-kira 35,091 orang sudah syahid dengan hampir 80,000 mengalami kecederaan sejak 7 Oktober lalu,” katanya.
Terbaharu, difahamkan, kehadiran tentera Israel di utara dan selatan Gaza semakin meningkat sejak semalam kononnya untuk menghapuskan kumpulan Hamas menyebabkan ribuan orang awam Palestin bertempiaran lari mencari kawasan selamat untuk berlindung.
Keadaan terus memburuk apabila operasi tentera Israel di Rafah ditingkatkan sementara pintu sempadan Gaza-Mesir ditutup sehingga menyebabkan penduduk sukar mendapatkan bantuan kemanusiaan antarabangsa.- UTUSAN










