Hilang RM277b akibat rasuah

Hilang RM277b akibat rasuah

ANWAR Ibrahim (tengah) menunjukkan buku Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu rasuah di negara ini terus membengkak sehingga mencecah kerugian puluhan bilion ringgit setahun.

Berdasarkan perkiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari 2018, Malaysia kehilangan kira-kira RM277 bilion akibat rasuah dalam tempoh lima tahun lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, jumlah yang hilang itu sepatutnya dimanfaat untuk rakyat.

Perdana Menteri berkata, banyak isu rakyat boleh diselesaikan jika negara dapat menghentikan kerakusan pihak-pihak yang menggunakan kuasa mereka sama ada pemimpin politik, penjawat awam atau swasta untuk merasuah.

“Jadi, rasuah tidak boleh dipandang remeh untuk meme­rangi. Kita mesti ada kuasa, komited dan keberanian serta undang-undang selain tekad po­litik yang jelas dan tegas.

“Saya percaya dengan kekuatan ini, kita tidak sanggup berkompromi dengan rasuah dan mengambil sebarang tindakan daripada semua pasukan penguat kuasa terlibat walaupun tonggaknya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus memastikan negara ini beranjak daripada keterlanjuran lalu dan lebih bertekad untuk membanteras,” katanya ketika berucap dalam majlis peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di sini, semalam.

NACS 2024-2028 dilancarkan bagi menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang berakhir pada Disember 2023.

Anwar menegaskan, pertarungan membanteras rasuah diibaratkan dahsyat kerana kerajaan dan pasukan penguat kuasa terpaksa menghadapi serangan dan tohmahan dalam usaha itu.

Menurutnya, terdapat segelintir pihak yang tetap akan mempertahankan dan menghalang sebarang tindakan diambil terutama dalam kalangan berpengaruh dan ada darjat dalam kalangan masyarakat.

“Apabila kita perangi perasuah, perasuah bukan manusia kecil dan kerdil, perasuah itu orang berpengaruh, orang darjat atas, dia akan gunakan sebarang usaha melalui media sosial, jentera kerajaan sedia ada, melalui kuasa dan pengaruh politik untuk halang dan menyerang sama ada tokoh politik atau bidang penguasa.

“Saya percaya, keluarga SPRM tahu bagaimana kadang-kadang mereka terpaksa hadapi serangan tohmahan, malah keselamatan kerana dalam pertarungan ini, pertarungan yang dahsyat,” katanya.

Dalam pada itu, menjelaskan mengenai NACS 2024-2028, Anwar berkata, sebanyak lima strategi digariskan kerajaan melibatkan aspek pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan selain ganjaran dan insentif.

“Bagi aspek pendidikan, anak-anak sekolah mesti dilatih untuk membenci rasuah dan salah guna kuasa. Di universiti dan dalam kalangan rakyat, mesti ada program pendidikan meluas supaya ada sikap (tolak
rasuah).

“Sekarang ini, orang rasuah kerana dia kaya, dia bagi habuan. Kita solat, setiap tahun pergi umrah, tetapi soal nilai antara hak dan batil, amal makruf dan nahi mungkar tidak dapat dibezakan.

“Sebab itu saya kata, peningkatan ilmu dan kefahaman adalah sangat penting,” jelasnya.

Sementara itu dalam majlis sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah kerugian yang cukup besar itu sewajarnya boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat dalam pelbagai aspek terutama
pelaksanaan projek sosial seperti membaik pulih hospital dan sekolah.

Malangnya, beliau kesal nilai sejumlah itu tiris akibat jenayah rasuah.

“Kalau dibahagi lima (angka kerugian itu) puratanya lebih kurang dalam RM55 bilion setahun.

“Jadi, jumlah ini yang kita semua perlu selamatkan. Angka dari segi kos yang boleh dijimatkan dan bukannya pendapatan. Kalau kita dapat selamatkan
wang-wang begini, ia akan dapat membahagiakan kita semua,” katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata, NACS diyakini dapat mencapai sasaran terutama dalam membanteras rasuah dengan menggariskan strategi berkaitan terutama skop pengoperasian dan penguatkuasaan.

Menurutnya, semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan akan dilibat urus untuk melihat kepada pelbagai banyak perkara tatakelola termasuk isu-isu reformasi undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN