PUTRAJAYA: Kebajikan sebahagian besar daripada kira-kira 10,000 guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di seluruh negara didakwa ditindas sehingga ada antara mereka menerima gaji RM400 sebulan.
Mereka mendakwa diminta tutup mulut dengan bayaran gaji rendah, tidak menerima caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Sosco selain disuruh mengadu bekerja sebagai sukarela di sekolah-sekolah tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil Gerakan Hak Pasti yang mahu dikenali sebagai Muhammad berkata, perkara itu disuarakan kumpulan guru dan bekas guru Pasti yang menghadapi isu berkenaan sudah lama dengan hak mereka sebagai pekerja dinafikan dan bertentangan dengan Akta Kerja 1955.
Menurut beliau, ada sebilangan guru Pasti di kawasan-kawasan tertentu menerima gaji serendah RM400, malah bayaran kerja lebih masa tidak pernah dibayar.
Menurut beliau, pihaknya telah membawa isu berkenaan bagi perhatian ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK) selepas menemui jalan buntu untuk menyelesaikan tuntutan hak guru-guru terlibat oleh pihak pengurusan.
“Bayaran gaji yang diterima guru-guru Pasti tidak ada penyelerasan, hanya bergantung kepada pihak pengurusan masing-masing.
“Lebih malang lagi apabila guru-guru diminta untuk menutup mulut dan menyembunyikan masalah sebenar dan mereka diarahkan untuk memberitahu bahawa kadar bayaran gaji adalah berdasarkan sukarela,” katanya di sini semalam.
Menurut Muhammad, silibus pengajian prasekolah Pasti juga tidak didaftarkan dengan Jabatan Agama Islam Negeri di beberapa negeri seperti Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.
Katanya, surat arahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) turut tersebar yang meminta agar silibus pengajian Pasti didaftarkan supaya ia diselaraskan dengan semua prasekolah lain dan perlu memulakan penyelarasan pengajian bermula sesi persekolahan ini.
Beliau turut mendedahkan, kebanyakan premis Pasti juga beroperasi secara haram dan memerlukan pemeriksaan rapi bagi aspek keselamatan bangunan.
“Sesetengah pengurusan Pasti tidak mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Socso menyebabkan kebajikan guru mereka terabai.
“Pihak pengurusan sudah menyimpang daripada matlamat asal Pasti, malah mereka tidak memberikan kerjasama untuk penambahbaikan,” katanya.
Muhammad berkata, pihak pengurusan turut menuduh pegawai JTK yang mengendalikan kes tersebut adalah pro parti politik tertentu apabila didakwa cuba menganggu operasi prasekolah Pasti.
Malah, dakwa beliau, ada dalam kalangan guru yang membawa kes ini kepada JTK menerima kecaman dan ugutan kerana tindakan membawa kes ini ke muka pengadilan.
“Guru diarahkan supaya tidak memberitahu perkara sebenar kepada pegawai JTK, jadi kebanyakan guru semua takut dan mengambil pendekatan berdiam diri,” katanya.
Beliau turut menekankan pihaknya hanya mahu memperjuangkan isu hak pekerja dan tidak sekali-kali menyentuh isu kepartian.
Katanya, isu hak pekerja adalah isu yang universal dan perlu diperjuangkan serta diadili tanpa bersikap berat sebelah.
“Kita mahu profesion guru pendidikan awal kanak-kanak dapat dimartabatkan ke tahap yang lebih tinggi.
“Usaha ini juga bukan untuk menutup operasi Pasti, tetapi demi menjaga kebajikan guru dan memberi manfaat kepada hampir 140,000 orang anak-anak yang sedang belajar di Pasti,” katanya. – UTUSAN










