Generasi baharu Felda bukan lagi kelompok sindrom rendah diri - Rozali - Utusan Malaysia

Generasi baharu Felda bukan lagi kelompok sindrom rendah diri – Rozali

PENGETUA SMK Jengka Pusat, Darussalam Taib (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Rozali Ismail (tengah) selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG sekolah itu kali ke-44 di Maran, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Generasi baharu Felda membuktikan mereka bukan lagi kelompok sindrom rendah diri tetapi muncul golongan pintar dengan pelbagai kepakaran dan profesional yang menyumbang kepada pembangunan negara bangsa.

Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail berkata, kehebatan generasi baharu Felda dibuktikan dengan pelbagai jawatan profesional di jabatan kerajaan dan swasta yang berkhidmat dalam serta luar negara.

Malah ujarnya, generasi peneroka boleh diamanahkan mengetuai institusi dan syarikat konglomerat kerana mempunyai pelbagai kepakaran dan semangat tinggi untuk mengangkat status masyarakat Felda.

“Generasi baharu Felda diyakini lebih memahami apa perlu dilakukan bagi memastikan pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan menjadi lebih berjaya serta berdaya saing di peringkat global,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat Kali ke-44 di sini hari ini.

Tambah Rozali, pencapaian anak Felda dalam pelbagai kerjaya semakin ramai dan meningkat setiap masa antaranya doktor, peguam, jurutera, juruterbang, pegawai tinggi kerajaan, pensyarah dan guru.

“Generasi Felda dari generasi kedua hingga keempat kini perlu membuktikan mereka tidak hilang akar budi tetapi sebaliknya kembali berbakti ke rancangan Felda.

“Dalam pada itu mereka harus bermuhasabah diri bagi mengenang semula pengorbanan generasi terdahulu sehebat pemimpin dunia yang meneroka dunia baharu,” katanya yang juga Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN