KOTA TINGGI: Jika dahulu penduduk teruja melihat gajah memasuki kawasan kampung, namun kini perasaan itu bertukar takut ekoran haiwan itu bertindak agresif merosakkan harta benda hingga menyebabkan kerugian.
Penduduk Kampung Lukut, Banon Mohamad Yusof, 66, berkata, kehadiran gajah liar sehingga tiga kali seminggu di kawasan kampung berkenaan, membimbangkan penduduk.
Katanya, kawanan haiwan tersebut sekitar lapan ekor, mensasarkan kawasan Lorong Hikmah 10 di kampung berkenaan kerana kedudukannya lebih hampir dengan hutan.
Dakwa Banon, dia kerugian kira-kira RM3,000 apabila kawanan gajah liar itu menceroboh dan merosakkan Kawasan inap desa dan nurseri yang diusahakannya dalam kejadiaan minggu lalu.
“Gajah yang datang bukan seekor dua tetapi banyak bersama anak cucu, tingginya mencecah atap rumah. Habis pasu bunga, papan tanda dan kawasan sekitar inap desa rosak.
“Bila hendak mengemas memang kami tidak larat, terpaksa keluar duit upah orang. Bayangkan, jika sampai tiga kali seminggu gajah-gajah ini masuk kampung kami memang tidak tahan.
“Kehadirannya boleh mengganggu perniagaan inap desa penduduk, kerana saya pernah memindahkan pelanggan ke tempat lain kerana bimbang keselamatan dan keselesaan mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Lukut, Kota Tinggi di sini. – UTUSAN










