ALOR GAJAH: Kerajaan negeri melalui Yayasan Kebajikan Budimas (Budimas) bakal membina empat lagi perpustakaan untuk anak-anak orang asli di Melaka agar mereka mendapat pendidikan sempurna.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, inisiatif di bawah Tabung Amal Pendidikan Budimas (BECF) adalah untuk memastikan anak-anak orang asli mendapat pendidikan secukupnya seperti masyarakat lain.
Beliau berkata, setakat ini perpustakaan pertama telah dibuka di Kampung Orang Asli Bukit Payung di Alor Gajah.
“Kalau kita lihat apa yang ada dalam perpustakaan di kampung ini cukup lengkap. Terdapat kira-kira 4,000 naskah buku dan projektor melengkapi pendidikan cara moden. Perpustakaan ini dibina dengan kos RM170,000 akan dimanfaatkan buat 50 anak-anak orang asli daripada 245 penduduk di kampung ini.
“Selain itu, Budimas juga turut melantik pustakawan yang akan menguruskan perpustakaan ini sepanjang enam hari dibuka dari pukul 2 petang hingga 7 malam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpustakaan Kanak-kanak Kampung Orang Asli Gapam Baru di Dewan Komuniti Kampung Orang Asli Gapam Baru di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Budimas, Anne Rajasaikaran berkata, pihaknya berhasrat mewujudkan sebanyak 12 lagi perpustakaan kanak-kanak di kawasan luar bandar khususnya perkampungan orang asli di seluruh negara, tahun ini.
Menurutnya, melalui BECF ia dapat memastikan bahawa tiada kanak-kanak orang asli akan terpinggir daripada ruang untuk menimba ilmu.










