Bot penambang Sungai Perak masih jadi pilihan

Bot penambang Sungai Perak masih jadi pilihan

BOT penambang yang menyediakan perkhidmatan membawa penumpang menyeberangi Sungai Perak di Teluk Intan. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Perkhidmatan bot penambang menyeberangi Sungai Perak ke bandar Teluk Intan masih menjadi pilihan sebahagian penduduk di sini.

Mereka terdiri daripada pekerja ladang, pekerja Felcra, guru sekolah dan penduduk dari Kampung Sungai Jejawi, Sungai Buaya, Sungai Timah dan Ulu Dedap untuk berulang alik ke bandar Teluk Intan.

Bot penambang tersebut menyediakan perkhidmatan membawa penumpang dan motosikal menyeberangi Su­ngai Perak dari jeti Pokok Asam ke jeti kampung Cina yang jaraknya kira-kira 500 meter.

Walaupun sudah ada jambatan menyeberangi Sungai Perak ke bandar itu, penduduk masih memilih perkhidmatan bot penambang kerana jarak­nya lebih dekat ke bandar Te­luk Intan selain kos murah.

Perkhidmatan dikendalikan Lee Lam Seng, 63, merupakan satu-satunya yang masih beroperasi seawal 6 pagi hingga 8 malam.

Menurut Lam Seng, sejak umur lapan tahun lagi dia mengikut bapanya dan belajar memandu bot penambang.

Setelah bapanya meninggal dunia, dia meneruskan pekerjaaan itu sehingga hari ini kerana tidak mahu warisan keluarganya hilang begitu sahaja.

“Saya meneruskan kerja ini bukan kerana ia merupakan sumber pendapatan saya tetapi kerana sayangkan warisan bot penambang yang sekian lama beroperasi, sejak tahun 1950-an sudah ada dan diwarisi hingga kini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Lam Seng bersyukur masih ramai penduduk menggunakan perkhidmatannya walaupun sudah ada Jambatan Sultan Yusof yang menghubungkan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Seorang pengguna perkhidmatan itu, Yahya Abdul Rahman, 51, dari Taman Intan Mas di sini berkata, setiap hari dia menaiki bot penambang Jeti pokok Asam untuk ke tempat kerja di Matang Guntong.

“Menaiki bot penambang lebih cepat dan murah, tambang 70 sen. Jika bawa motosikal dikenakan RM1 untuk pergi sahaja. Hanya 20 minit untuk ke tempat kerja berbanding melalui Jambatan Sultan Yusof, hampir 40 minit selain kos minyak motosikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN