KUALA LUMPUR: Sebahagian pemimpin kerajaan diingatkan supaya tidak angkuh dengan kedudukan di peringkat Persekutuan kerana segala tindak-tanduk yang salah hanya akan menyakiti hati rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menegur tindakan segelintir ahli politik kerajaan yang gemar membuat kenyataan tanpa menganalisis sesuatu fakta dan menyusun kata-kata dengan tepat sehingga boleh menjadi ‘troll’.
“Nasihat saya kepada pemimpin kerajaan bila ada kedudukan, jangan rasa angkuh. Jangan buat kenyataan sesuka hati kerana itu akan lebih menyakiti rakyat,” katanya dalam pertemuan di sini baru-baru ini.
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam Barisan Nasional berharap pihak kerajaan menggunakan pendekatan terbaik dalam menerangkan polisi atau dasar kerajaan kepada rakyat dengan cara berhemah.
Ini kerana katanya, masih ada dalam kalangan rakyat memerlukan maklumat kerana tidak faham tentang sesuatu perkara.
“Buat elok-elok, jangan anggap rakyat tidak pandai. Kalau mereka (rakyat) terlalu pandai, mereka sudah gantikan (tempat) kamu tetapi jika mereka tidak faham atau kurang faham, beritahu mereka, bukan kata lantaklah,” jelasnya.
Dalam hal ini tegasnya, tidak wajar sikap segelintir pemimpin kerajaan yang gagal memberikan jawapan tentang sesuatu isu, sebaliknya jawapan yang diberikan kerap kali mewujudkan persoalan yang berpanjangan.
Malah Ka Siong kesal dengan beberapa pemimpin kerajaan yang enggan mengakui kelemahan dalam sesuatu dasar selain tidak mahu mendengar pendapat untuk penambahbaikan.
Sebelum ini Ka Siong secara lantang mengkritik Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), tetapi Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli didakwa enggan mengakui kelemahan dan menerima kritikan pelbagai pihak berhubung sistem yang bertujuan untuk pemberian subsidi bersasar sehingga tidak mendapat keyakinan rakyat.
Premier Sarawak, Abang Johari Openg sebelum ini juga mahu menangguhkan pendaftaran PADU atas alasan kebimbangan keselamatan data peribadi. – UTUSAN










