‘Bayar bil tiap bulan, tapi dapat air berkarat’

‘Bayar bil tiap bulan, tapi dapat air berkarat’

MARIAM Ismail menunjukkan dua kualiti air AKSB yang diterima di rumahnya di Kampung Wakaf Bunut, Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Lebih 500 penduduk Kampung Wakaf Bunut, di sini mendakwa mereka terpaksa menggunakan air karat dan berkeladak sejak sedekad lalu, meskipun membayar bil air setiap bulan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penghulu Kampung Wakaf Bharu Mariam Ismail berkata, situasi itu menjejaskan urusan harian mereka terutama untuk memasak dan mendapatkan air minuman.

“Sudah 10 tahun berdepan masalah ini walaupun membayar bil setiap bulan tanpa gagal.

“Saya sudah menghubungi Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) Pasir Puteh untuk mendapatkan maklum balas berkait perkara itu namun gagal,” dakwanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Mariam memberitahu, setiap hari bermula pukul 5 hingga 8 pagi, penduduk akan menerima air tidak bersih.

Dakwanya, bagaimanapun warna air akan bertukar cerah sedikit pada waktu tengah hari namun perlu ditapis kerana mempunyai banyak keladak.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ahmad Ismail, 51, memberitahu, disebabkan ma­sa­lah itu ada penduduk terpaksa membeli penapis air mencecah sehingga RM3,000 dan membayar servis sebanyak RM700 setahun, semata-mata hendak mendapatkan air bersih.

“Kasihanilah kami yang membayar bil bulanan, namun menerima air yang tidak boleh digunakan. Ia merugikan kami.

“Saya harap ada tindakan segera dilaksanakan bagi membolehkan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik dan berkualiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN