Arahan Jho Low adalah arahan Najib

Arahan Jho Low adalah arahan Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pegawai Penyia­sat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tidak bersetuju tindakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ‘menurut’ arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah satu tabiat.

Sebaliknya, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin berkata, tindakan itu di­sebabkan arahan Jho Low adalah arahan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu, Nur Aida menafikan bahawa tindakan Shahrol Azral menurut segala arahan Jho Low kerana sudah terbiasa menerima arahan daripada ahli perniagaan itu ketika berkhidmat di syarikat perundingan Accenture, yang mana syarikat milik Jho Low iaitu Utama Banking Group (UBG) pernah menjadi pelanggannya.

Nur Aida berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes Najib yang didakwa atas 25 pertuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Pada perbicaraan sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir menyatakan semua arahan yang dikeluarkan oleh Jho Low dianggap mandat daripada Najib.

Tambahnya, peranan Jho Low amatlah ketara sebagai penasihat kepada Najib dan boleh juga dikatakan Jho Low merupakan orang kanan dan dipercayai Najib dalam urusan 1MDB.

Selain itu, Nur Aida bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa Jho Low mengawal segala operasi dalam 1MDB dan mencaturkan segalanya dalam syarikat pelaburan strategik negara itu.

Muhammad Shafee: Dalam pernyataan saksi, kamu katakan Jho Low yang caturkan. Apa yang dia catur?

Nur Aida: Jho Low yang mencaturkan pengoperasian 1MDB.

Muhammad Shafee: Jadi saya katakan kamu maksudkan Jho Low yang kawal segalanya.

Nur Aida: Betul.

Pada September 2019, bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin ketika memberi keterangan memberitahu, Jho Low dianggap tuan boneka (puppet master) kerana dia boleh memanipulasi sesiapa sahaja, tanpa mengira status untuk mendapatkan apa sahaja yang dikehendakinya.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan peng­ubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan meng­ikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN