MELAKA: Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka buat penggal kedua.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh hari ini dan beliau mengucapkan tahniah atas pelantikan itu.
“Mewakili kepemimpinan negeri Melaka, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama Tun Mohd. Ali atas pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi penggal kedua.
“Saya bersama pimpinan negeri dan sekalian rakyat Melaka sentiasa berdoa semoga negeri dan rakyat Melaka yang berada di bawah naungan Tun akan terus maju jaya serta dilimpahkan segala kerahmatan, keberkatan dan kesejahteraan jua hendaknya,” katanya.
Mohd. Ali yang juga bekas Ketua Menteri dilantik ke jawatan itu pada 4 Jun 2020 oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pelantikan itu berkuat kuasa sehingga tempoh empat tahun bagi menggantikan Tun Mohd. Khalil Yaakob yang tamat tempoh perkhidmatan. – UTUSAN










