Al-Sultan Abdullah rasmi sidang DUN Pahang ke-15 buat pertama kali - Utusan Malaysia

Al-Sultan Abdullah rasmi sidang DUN Pahang ke-15 buat pertama kali

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memeriksa barisan bersempena Istiadat Pembukaan Dewan dan Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kali ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah buat pertama kalinya merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kali ke-15 hari ini.

Persidangan kali ini merupakan yang pertama dihadiri oleh Al-Sultan Abdullah selepas keberangkatan pulang baginda ke negeri ini pada 30 Januari lalu.

Baginda sebelum ini dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 selama lima tahun bermula 2019 sejurus menaiki tahta sebagai Sultan Pahang.

Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda berharap setiap ahli dewan undangan negeri (ADUN) dapat memberikan komitmen dan mengambil bahagian dalam perbahasan serta memberikan pandangan yang boleh meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini.

“Beta juga menyeru agar ahli-ahli dewan berbahaslah secara rasional dan berpeganglah kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat serta kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan,” titah baginda.

Baginda dalam pada itu merakamkan ucapan tahniah kepada pentadbiran kerajaan serta Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas kejayaan meningkatkan prestasi kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk dua tahun berturut-turut.

“Beta dimaklumkan pada 2023, kerajaan beta telah berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM1.306 bilion melalui pelbagai sumber hasil negeri dengan sumbangan terbesar adalah kutipan hasil tanah yang keseluruhannya berjumlah RM740.35 juta.

“Malah kutipan hasil kerajaan negeri bagi tahun 2023 menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 1.42 peratus lebih tinggi berbanding dengan prestasi jumlah kutipan hasil pada 2022 iaitu RM1.28 bilion.

“Bagi 2024, kerajaan beta menetapkan sasaran kutipan hasil secara keseluruhan sebanyak RM1.137 bilion. Sehingga 30 April, kerajaan beta berjaya mengutip hasil secara keseluruhan sebanyak RM298.108 juta iaitu 26.2 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dan beta percaya jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah dalam masa berharap kerajaan negeri memperkukuhkan lagi iltizam untuk melipat gandakan produktiviti dan daya saing bagi memastikan prestasi kutipan hasil tahun ini bukan sahaja dapat dikekalkan, malah dipertingkatkan lagi sebagaimana yang disasarkan.

“Dalam hal ini beta percaya pentadbiran kerajaan beta amat menitik beratkan perihal tadbir urus yang baik, akauntabiliti dan integriti setiap anggota pentadbiran kerajaan beta untuk merealisasikan harapan negeri beta sebagai sebuah negeri beretika dan berintegriti tinggi,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN