KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor digesa membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini menyertai mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) bagi menyelesaikan segala isu dan masalah rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, semua ADUN pembangkang ketika ini diketepikan untuk terlibat sama dalam mesyuarat tersebut.
Tegas beliau, keadaan itu menyebabkan segala isu rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi pembangkang tidak dapat disampaikan secara terperinci.
“Fungsi JKTD itu adalah menyelesaikan masalah rakyat di daerah dan disalurkan ke peringkat negeri bagi mendapatkan penyelesaian menyeluruh.
“Bagaimana kami sebagai wakil rakyat pembangkang mahu membantu menyelesaikaanya sedangkan tidak dipanggil dalam mesyuarat berkenaa ,” katanya kepada pemberita hari ini.
Justeru, beliau meminta kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bersikap lebih terbuka dalam isu tersebut.
“Matlamat kita (ADUN) tanpa mengira parti politik adalah membantu rakyat dan kerajaan negeri perlu melihat semula perkara ini,” ujarnya.
Sementara itu, ADUN Bukit Melawati, Datuk Noorazley Yahya berkata, banyak perkara terutama melibatkan isu rakyat di kawasannya tidak dapat disuarakan kerana beliau tidak dipanggil dalam mesyuarat JKTD.










