KANGAR: Kira-kira 80 peratus calon yang mengambil ujian di sekolah memandu sekadar ingin lulus untuk mendapatkan lesen.
Selepas mendapat lesen, ramai yang tidak mempratikkan ilmu dipelajari sedangkan silibus diajar sudah lengkap bagi mendidik pemandu aspek keselamatan jalan raya.
Menurut Pengerusi Institut Memandu IKMP Sdn. Bhd., Noor Affizal Mohd. Fadzil berkata, Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) sememangnya telah lengkap dan hanya memerlukan beberapa penambahbaikan bagi memantapkan kemahiran pemanduan calon.
Katanya, KPP turut menekankan latihan kemahiran bagi membentuk sikap pemandu semasa di jalan raya.
“Bagi saya silibus KPP sedia ada memang sudah lengkap, hanya perlu ditambah baik dalam beberapa perkara bagi memastikan keberkesanannya. Kali terakhir KPP disemak pada 2015,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, tambah Noor Affizal, sejak KPP ditambah baik sembilan tahun lalu, statistik kemalangan jalan raya di negara ini masih tinggi.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lalu menunjukkan, purata kemalangan jalan raya sehari adalah sebanyak 1,600 kes dan kadar kematian sehari pula sebanyak 34 kes.
Noor Affizal berkata, antara penambahbaikan yang mungkin boleh dilakukan adalah fokus kepada calon impak selepas sesuatu kejadian atau kemalangan.
“Kebanyakan calon yang datang ke sekolah memandu boleh dikatakan hanya fokus untuk dapatkan lesen dan tidak melihat apa matlamat sebenar mereka mendapatkan lesen,” katanya.
Beliau berkata, sejak KPP diperkenalkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut melakukan penambahbaikan aspek masa latihan dengan mewajibkan setiap calon menggunakan pengimbas cap jari sewaktu menjalani latihan.
Katanya, sekolah dan institut memandu turut dikawal selia menerusi sistem bagi mengelakkan sebarang salah laku seperti memberi ‘jalan pintas’ mendapatkan lesen.
“Jadi untuk mendapatkan lesen sememangnya tiada jalan pintas kerana calon perlu rekod kehadiran mereka setiap kali menjalani latihan di sekolah memandu menggunakan pengimbas cap jari serta turut dipantau JPJ,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Noor Affizal berkata, berdasarkan perbincangan bersama JPJ pada 2014 lalu, semua wakil sekolah dan institut memandu telah dipanggil dalam sesi berkenaan bagi menetapkan kadar harga lesen memandu.
Katanya, berdasarkan perbincangan itu, satu pekeliling telah dikeluarkan di mana harga bagi lesen B2 adalah RM350, lesen B (RM900), lesen C (RM600), lesen D (RM1,150), lesen E (RM1,500), lesen kenderaan barangan (GDL) (RM360) dan lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) (RM200).
“Kebanyakan sekolah-sekolah memandu telah mengikut harga ini sejak 2014 sedangkan kami juga perlu bergelut dengan kenaikan harga barang khususnya membabitkan kos penyelenggaraan kenderaan, pengurusan, sistem dan pelbagai lagi,” katanya. – UTUSAN










