KUALA LUMPUR: Seramai 21 ahli kumpulan jenayah yang dikenali sebagai Geng TR ditahan atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua suspek ditangkap pada 3 Mei lalu melalui satu Operasi Khas lima oleh bahagian jenayah terancang D14 Bukit Aman.
“Pada tangkapan pertama, seramai 18 suspek di tahan di lokap berpusat Shah Alam, Selangor.
“Manakala tiga lagi suspek ditahan reman di penjara Sungai Buloh. Operasi tersebut turut dibantu oleh bahagian pencegah maksiat, judi dan kongsi gelap D7,” katanya.
Beliau memberitahu, kesemuanya direman selama 28 hari sejak 3 Mei lalu dan akan dituduh di mahkamah hari ini.
Katanya, seorang daripada suspek bagaimanapun tidak dapat dihadapkan ke mahkamah kerana menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Jelasnya, Shuhaily, Geng TR ini terdiri daripada ahli kumpulan kongsi gelap 08, 18,21,24 dan 36 yang bergiat aktif di kawasan negeri Selangor, Pahang dan Johor.
“Mereka ini aktif dengan jenayah kekerasan, pembunuhan, pengedaran dadah sejak 2019 lagi,” jelasnya.
Katanya, kesemua suspek dituduh dibawah di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). – UTUSAN










