120,000 pelajar berisiko guna bas sekolah ‘uzur’

120,000 pelajar berisiko guna bas sekolah ‘uzur’

DIANGGARKAN sebanyak 40 peratus bas sekolah di seluruh negara hampir tamat tempoh penggunaannya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keselamatan kira-kira 120,000 daripada 1.2 juta pelajar di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah terdedah kepada bahaya berikutan kenderaan mereka naiki sudah usang atau ‘uzur.’

Mereka menaiki 2,000 bas sekolah yang menghampiri tempoh jangka hayat 30 tahun daripada 5,000 bas sekolah yang berdaftar di seluruh negara.

Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd. Rofik Mohd. Yusoff berkata, bas sekolah yang masih boleh digunakan untuk berdaftar dalam perkhidmatan tidak melebihi usia 20 tahun.

“Dianggarkan sebanyak 2,000 atau 40 peratus bas sekolah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, hampir tamat tempoh penggunaannya.

“Kebanyakan bas tersebut sudah mencecah had usia 28, 29 dan 30 tahun serta memerlukan kenderaan baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Rofik berkata, kebiasaan pengusaha bas sekolah akan membeli bas diperbaharui berbanding membeli baharu.

Katanya, harga untuk bas baharu yang memuatkan 44 penumpang mencecah hampir RM800,000 manakala sebuah van RM170,000.

“Kebiasaan pengusaha akan membeli bas dan van yang diperbaharui kerana harganya 50 peratus kurang daripada harga asal. Sebagai contoh, harga bas tersebut RM300,000 dan RM80,000 untuk van yang diperbaharui.

“Kebanyakan pengusaha membeli bas atau van baharu kerana mempunyai kontrak dengan mana-mana agensi.

“Kerajaan perlu memberi sedikit subsidi dalam membantu pengusaha bas sekolah dalam pembelian kenderaan baharu,” katanya.

Menurut Mohd. Rofik, kos penyelenggaraan untuk sebuah bas pula mencecah RM2,500 sebulan dan RM500 bagi van.

“Ini belum lagi insurans kenderaan yang boleh mencecah RM1,000 ke RM2,000. Penggunaan minyak bagi sebuah bas sebulan adalah RM1,500 dan RM800 untuk van.

“Pada masa kini, tambang bas adalah regulasi dan atas persetujuan bersama ibu dan bapa. Kebiasaannya RM80 ke RM150 sebulan mengikut jarak,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Rofik memberitahu, kenderaan yang tidak berdaftar dalam perkhidmatan pengangkutan sekolah adalah lebih tinggi berbanding bas sekolah yang berdaftar dan menghampiri had usia penggunaan.

“Lebih 10,000 kenderaan yang tidak berdaftar di seluruh negara disalahgunakan sebagai kenderaan perdagangan yang membawa murid sekolah.

“Kenderaan ini beroperasi tanpa lesen, tidak berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan tidak melalui pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya.

Menurut Mohd. Rofik, ibu bapa tidak boleh memandang ringan isu menggunakan per­khidmatan bas yang tidak didaftarkan ini demi memastikan keselamatan anak mereka terjaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN