KOTA KINABALU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi percaya ujian yang dihadapi UMNO termasuk di Sabah sepanjang tempoh tujuh tahun ini akan berakhir dan diganti dengan zaman kegemilangan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh tujuh tahun ini sejak 2018 hingga 2024, UMNO berhadapan pelbagai cabaran bukan sahaja di peringkat nasional tapi juga di Sabah, yang jauh lebih perit lagi keadaannya.
Namun, atas semangat kesetiaan, beliau amat menghargai kepimpinan UMNO Sabah khususnya Datuk Seri Bung Moktar Radin dan rakan-rakan lain yang tetap setia kepada UMNO.
Beliau berkata, kesetiaan kepada parti bukan ada harga dan nilai yang dibayar, namun rakyat dan ahli UMNO akan melihat kesetiaan itulah yang akan membawa UMNO gemilang di Sabah.
“Ujian dalam tempoh tujuh tahun ini akan berakhir dan akan datang tujuh tahun musim gemilang kepada UMNO Sabah,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan majlis perasmian cawangan-cawangan UMNO Sabah, malam ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO sebagai sebuah parti kebangsaan tidak berhasrat masuk ke Sabah dahulu, namun rakyat Sabah yang mahukan UMNO sama-sama berkembang di negeri itu.
Kata beliau, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun dan kepimpinan Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada masa itu mahukan satu percantuman jiwa atau percantuman pemikiran antara rakyat Sabah dan Semenanjung.
Mengulas lanjut katanya, beliau percaya berkat kerja kuat dan kesepaduan rakyat Sabah khususnya etnik bumiputera, UMNO akan jadi gemilang, UMNO akan jadi kerajaan.
“Apa yang kita sedang alami ini, jika berlaku peristiwa besar pada tahun ini, mungkin kalau tidak pertengahan tahun ini, mungkin tiga per empat tahun ini atau selewat-lewatnya tahun depan, kalau semangat yang diperlihatkan ini, bukan sahaja di Putatan tapi, ketua-ketua bahagian lain di Sabah, saya yakin kemenangan akan memihak kepada kita (UMNO) semula,” katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, UMNO telah diuji dalam keadaan sukar ketika berada di kemuncak.
“Jadi, belajarlah daripada pengalaman. Maka, apabila kembali berkuasa, UMNO harus laksanakan apa yang terbaik untuk Sabah agar kuasa yang diberikan rakyat bertahan lebih lama,” ujarnya. – UTUSAN










