Warga emas nyaris rentung

Warga emas nyaris rentung

KEADAAN rumah yang dihuni oleh seorang warga emas bersama enam ahli keluarga yang terbakar di Felda Chiku 6, Gua Musang, Kelantan, semalam.-IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang warga emas yang uzur bersama enam ahli keluarganya nyaris rentung selepas rumah mereka terbakar di Felda Chiku 6 di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, rumah kedai jenis separa kekal yang menjadi tempat tinggal Che Hamaid Deraman, 69, musnah 90 peratus selain sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier dan motosikal turut hangus. 

Anak mangsa, Mohd. Shahrul Nizam Che Hamaid, 34, berkata, kebakaran itu disedari bapanya yang mengalami masalah penyakit saraf mata ketika berada di dalam rumah.

Katanya, sebelum itu, bapanya terhidu bau terbakar dari sebuah bilik di dalam rumah kedai itu.

“Bapa yang dalam keadaan uzur kelam kabut keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri walaupun dalam keadaan pandangan yang kabur.

“Alhamdulillah, dia selamat dan sempat keluar dari rumah kedai sebelum api semakin marak. Kini, kami tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah,” katanya.

Mohd. Shahrul Nizam berkata, mereka sekeluarga kini menumpang di rumah saudara terdekat yang tinggal berhampiran.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.47 malam dan tiba di lokasi kejadian pukul 8.55 malam. 

“Jarak Balai Bomba Gua Musang dengan lokasi kejadian sejauh 43 kilometer. Operasi memadam kebakaran melibatkan seramai 14 anggota dan tiga jentera. 

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kebakaran dan kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN