Warga emas maut langgar pokok tumbang - Utusan Malaysia

Warga emas maut langgar pokok tumbang

SEORANG warga emas maut selepas motosikal yang dinaikinya melanggar pokok tumbang di Jalan Persiaran Senawang 1 berhadapan stesen minyak di Taman Sri Mawar, Senawang, pagi tadi.-GAMBAR/IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar sebatang pokok yang tumbang di Jalan Persiaran Senawang 1 berhadapan sebuah stesen minyak di Taman Sri Mawar, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi dan siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang lelaki berusia 62 tahun sedang bergerak seorang diri dari arah Taman Marida menuju ke arah Seremban 2.

Menurutnya, apabila sampai di lokasi kejadian mangsa yang menunggang di lorong kiri telah melanggar sebatang pokok yang tumbang melintang di laluannya.

“Akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik HTJS untuk pengendalian bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Sankar di talian 014-6000353 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×