Tindakan terhadap Akmal zalim, tawar khidmat sebagai peguam - Hassan - Utusan Malaysia

Tindakan terhadap Akmal zalim, tawar khidmat sebagai peguam – Hassan

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menawarkan diri untuk menjadi peguam bagi mewakili Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang kini disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan isu stoking tertera kalimah Allah.

Beliau menawarkan khidmatnya kerana menyifatkan tindakan terhadap Dr. Muhamad Akmal sebagai tidak wajar dan bersifat zalim.

“Kedua-dua akta itu bersifat kuku besi dan zalim kerana sering disebut sebagai akta yang ‘draconian’. Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji dalam manifesto untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang zalim dan meminda Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang terlalu luas, kabur dan terbuka untuk disalahgunakan.

“Ketua Pemuda UMNO itu sewajarnya disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang lebih adil dan berpatutan. Ini berkait dengan kesalahan kerana mungkin menyebabkan keadaan tidak harmoni, perpecahan dalam masyarakat, menimbulkan kebencian atau membangkitkan sebab kepada orang lain melakukan keganasan.

“Kita mungkin tidak setuju atau tidak sependapat dengan beliau, tetapi hak untuk bersuara dan menyatakan pendiriannya dalam soal stoking yang dikaitkan dengan kalimah Allah adalah dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor turut memberitahu, semua warganegara Malaysia berhak terhadap kebebasan bercakap dan bersuara.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Dr. Muhamad Akmal disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 berkaitan isu stoking tertera kalimah Allah selepas ditahan di Kota Kinabalu.

Terdahulu, Dr. Muhamad Akmal dua kali disoal siasat polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan yang pertama pada pukul 10.40 pagi sehingga 12.40 tengah hari sebelum sekali lagi dipanggil untuk memberi keterangan selama dua jam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×