Tiga anak pemimpin Hamas terbunuh, PM ucap takziah

Tiga anak pemimpin Hamas terbunuh, PM ucap takziah

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi pemimpin utama gerakan Hamas iaitu Ismail Haniyeh petang tadi bagi mengucapkan takziah di atas kematian tiga anak lelakinya dalam serangan udara oleh rejim Israel.

Perdana Menteri berkata, kehilangan nyawa insan yang tidak berdosa terutamanya kanak-kanak cukup tragik lebih-lebih lagi ketika Hari Raya Aidilfitri.

“Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia menyatakan solidariti tidak berbelah bahagi dan semangat kebersamaan tinggi bersama keluarga Ismail serta seluruh rakyat Palestin yang telah kehilangan keluarga tersayang.

“Malaysia menzahirkan kecaman dan kutukan sekeras-kerasnya ke atas rejim biadab zionis Israel yang berterusan melakukan genosid kebencian ke atas warga Palestin.

“Ini membuktikan mereka tiada keinginan melakukan gencatan senjata sepertimana dituntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tempoh hari dan tidak tunduk atau patuh kepada prinsip hukum serta undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Sebelum ini, dilaporkan, Ismail kehilangan tiga anak lelakinya iaitu Hazen, Amir dan Muhammad serta beberapa cucu akibat terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Terbaharu, media antarabangsa memaklumkan sejak bermulanya kempen pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada 7 Oktober tahun lalu, lebih 33,360 rakyat Palestin terbunuh dan 75,993 mengalami kecederaan.

Sementara itu, Anwar turut mendesak komuniti antarabangsa bertindak tegas terhadap tentera Israel atas kezaliman yang dibuat dan perlu bekerja untuk menjelmakan keamanan buat rakyat Palestin yang secara konsisten dinafikan sejak 75 tahun lalu.

“Serangan kurang ajar oleh rejim pengecut zionis Israel ini hanya melenyapkan sebarang harapan ke arah penyelesaian secara aman dengan prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia terus diinjak tanpa noktah,” kata Anwar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN