Rasuah: Dua pegawai syarikat air direman sehari - Utusan Malaysia

Rasuah: Dua pegawai syarikat air direman sehari

DUA pegawai kanan sebuah syarikat pembekalan air negeri ini ditahan reman sehari bagi membantu siasatan kes terlibat menerima rasuah berjumlah RM3.3 juta daripada dua syarikat kontraktor, tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua pegawai kanan syarikat pembekalan air di negeri ini direman sehari bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah sebanyak RM3.3 juta daripada dua syarikat kontraktor.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar .. Nurzihan Abdul Rehman selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.

Dua suspek berkenaan, masing-masing diwakili peguam bela, Adzly Ab. Manas dan Amarpreet Singh Rajwinder Singh.

Tahanan reman berkenaan bagi membolehkan kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semalam, dua lelaki berusia 36 dan 40 tahun tersebut ditahan di pejabat SPRM Selangor.

Difahamkan siasatan dibuat atas beberapa aduan pada tahun lalu, kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah daripada pemilik dua buah syarikat kontraktor sebagai balasan membantu syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan daripada syarikat pembekalan air tersebut.

Suspek dikatakan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berhubung dengan permohonan sumbangan bagi sebuah program berjumlah RM3.3 juta sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN