ISKANDAR PUTERI: Kebanyakan pusat judi di negeri ini menukar modus operandinya dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit dan kedai kopi bagi mengelak kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.
Walau bagaimanapun, hasil risikan yang dijalankan serta maklumat disalurkan orang awam, kegiatan itu berjaya dilumpuhkan.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, Op Dadu Khas yang dilancarkan secara serentak di seluruh negeri ini telah membuat serbuan ke atas 87 premis menjalankan kegiatan judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen.
Dalam operasi yang dijalankan sejak Rabu hingga semalam itu, pihaknya berjaya menahan 87 individu termasuk lapan warga Indonesia.
“Kita dapati mereka telah menukar modus operandi dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit dan kedai kopi. Seramai 87 individu terdiri daripada 69 lelaki dan 18 wanita berumur antara 18 hingga 64 tahun berjaya ditahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Kumar memberitahu, dalam operasi tersebut, pihaknya turut merampas pelbagai jenis barangan termasuk 26 unit mesin pencetak pelbagai jenama, 86 telefon bimbit pelbagai jenama, 112 helai kertas catatan dan wang tunai berjumlah RM12,612.
Pihak polis akan membuat permohonan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk pemotongan bekalan elektrik terhadap 73 daripada 87 premis yang diserbu.
“Hasil serbuan yang dijalankan, kita dapati ada antara premis yang diserbu pernah digempur sebelum ini, ini membuktikan bahawa mereka ini tidak serik melakukan kesalahan berulang. Jadi, kita juga akan membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenakan tindakan pembatalan lesen perniagaan terhadap syarikat terlibat,” katanya sambil menegaskan bahawa pihak polis komited dalam membanteras jenayah berkenaan.
Pihaknya juga akan mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat laman web yang dikenal pasti menganjurkan aktiviti perjudian berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 4B (a) serta Seksyen 4(1)(C) akta yang sama dan sejak awal tahun hingga semalam, sebanyak 811 serbuan dilakukan dengan seramai 1,143 orang ditahan dan wang tunai berjumlah RM297,457 dirampas. – UTUSAN









