SEREMBAN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan segera dengan melakukan pemotongan pokok-pokok yang berisiko tumbang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, tindakan segera itu bukan sahaja perlu diambil oleh PBT malah semua pihak selepas dua kejadian individu maut ekoran pokok tumbang baru-baru ini kerana pokok itu terletak dalam tanah persendirian.
“Mengenai dua kejadian pokok tumbang sehingga mengundang kemalangan maut di Senawang dua minggu lalu, saya dimaklumkan pokok-pokok berkenaan terletak di tanah persendirian.
Berikutan itu, saya minta agar tindakan diambil terhadap pokok-pokok berbahaya yang terletak di tepi rizab jalan.
“Pokok-pokok berbahaya di tepi jalan yang menjadi laluan awam perlu juga dikenal pasti dan tindakan perlu diambil oleh PBT dan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya pemotongan pokok-pokok itu dilaksanakan oleh pemilik tanah. Jika pemilik tanah ingkar, PBT perlu mengenakan tindakan ke atas pemilik tanah tersebut agar perkara sama tidak berulang lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Arul Kumar menambah, faktor cuaca termasuk tiupan angin hanya menjadi punca tambahan mengapa satu-satu pokok itu boleh tumbang atau dahan pokok boleh patah.
“Walaupun ada beberapa keadaan cuaca itu menjadi punca utama tetapi sekurang-kurangnya kita boleh mengenal pasti dan mengambil tindakan pengurusan serta penjagaan terhadap pokok-pokok yang mempunyai potensi tumbang jika cuaca teruk,” katanya.
Pada 3 April lalu media melaporkan seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar sebatang pokok yang tumbang di Jalan Persiaran Senawang 1 berhadapan sebuah stesen minyak di Taman Sri Mawar di sini
Satu lagi kemalangan maut membabitkan seorang lelaki selepas kenderaannya dihempap pokok tumbang di Jalan Senawang-Paroi dekat Taman Rashidah Utama di sini.











