Pesawah ‘sakit hati’ beras dibuang

Pesawah ‘sakit hati’ beras dibuang

SEBAHAGIAN beras yang dibuang di kawasan pembuangan sampah dekat Rumpun Makmur, Kuala Krau di Temerloh, Pahang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penemuan longgokan beras, tepung dan beberapa makanan lain yang terbuang di Temerloh, Pahang baru-baru ini mengecewakan pesawah yang menyifatkan perbuatan tersebut tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi ketika bekalan beras susah diperoleh.

Bagi menghasilkan sekilogram beras, pesawah mendakwa mereka membanting tulang di sawah dan berdepan pelbagai risiko padi tidak menjadi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, beras diibarat ‘permata’ bagi pesawah yang menjadi sumber rezeki utama selain kepentingan untuk rakyat sebagai makanan ruji mereka.

Menurut beliau, beras itu tidak sepatutnya dibuang dan jika rosak sekali pun ia boleh digunakan sebagai makanan haiwan dan sebagainya.

Katanya, bayangkan bagai­mana perasaan pesawah dan rakyat apabila melihat beras dan makanan lain yang dibuang di saat ramai dalam kalangan mereka susah untuk membeli dan juga menanamnya.

“Tindakan membuang beras ini sebenarnya cukup sensitif dan menyakitkan hati. Sepatutnya bahan makanan seperti ini tidak perlu disimpan terlalu lama dan boleh diagihkan secepat mungkin.

“Dalam keadaan sekarang di mana beras tempatan juga sangat sukar diperoleh, apabila melihat situasi ini tidak masuk akal. Saya berharap situasi se­perti ini tidak akan berulang,” katanya.

Seorang pesawah, Mohd. Nazri Subuh,48, berkata, pesawah bersusah payah bagi menghasilkan beras tetapi ada pula individu yang tergamak membuangnya di tepi jalan.

Menurutnya, tindakan mereka yang membuang beras dan makanan lain itu boleh diibarat sebagai penghinaan kepada makanan ruji itu.

“Orang tua-tua selalu berpesan jangan ‘tahana’ (menganiaya) terhadap makanan,” katanya.

Oleh itu, kata Mohd. Nazri, perkara itu harus disiasat kenapa pembuangnya tergamak me­lakukan perbuatan yang membazirkan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihak berkenaan perlu berhati-hati daripada me­lakukan tindakan sensitif se­perti itu.

“Saya percaya dia (Ismail Mohamed) mungkin tidak perasaan namun disebabkan ia benda makanan ia sangat sensitif khususnya di saat rakyat sedang susah ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN